Thursday, October 16, 2008

PEKERJAAN ALLAH

KELUAR DAN MASUK atau masuk dan keluar adalah perkara biasa.
Menyeronokan.
Tanpa guruh berdentum kilat bersabungan, hujan boleh turun dengan lebatnya. Fenomena alam dari pekerjaan Allah sepadan kuasa dan kekayaannya boleh membuat laut pantai berubah gunung bukit berpindah.

Di tengah kegoyahan rakyat angkara peristiwa penculikan , pembunuhan dan ragut yang menjadi-jadi, dimana orang-orang UMNO masih dalam perkabungan ekoran kekalahan pilihanraya Permatang Pauh. Tidak semena sekeliannya tersentak digerak khabaran konon mantan PM Tun Dr Mahathir akan memasuki UMNO semula.

Berita ini tersebar luas, kawan-kawan kalangan UMNO bercakap mengenainya di setiap perjumpaan besar maupun kecil. Aku sedar ini adalah dari gerak atau kehendak Allah jua. Apa sehingga kepada jadi peliknya. Tun M hanya akan masuk balik ke dalam parti yang dulunya beliau pernah berada dalamnya.

Keadaan itu sepertinya seorang lelaki yang bercerai kemudiannya rujuk semula. Bercerai dan rujuk semula dalam Islam dibolehkan sampai 3 kali (tidak melebihi 3 talak). Pelanggaran syarat ditentukan ada jalan penyelesaian dalam cara khusus (cina buta). Dalam UMNO tiada peraturan semuanya itu, ertinya boleh keluar dan masuk seberapa kali mahu. Ianya terpulang kepada keputusan majlis tertinggi, ini tidak terikat dengan imam atau kadi dan quran.

Tun M baru pun tinggalkan UMNO. Nisbah penceraian dalam perkahwinan berbaik semula dalam keadaan, bilik dan katil belum pun berubah, sarung bantal dan tilam itu juga, janda yang akan kembali jadi isteri baru pun 4 kali datang bulan, rambutnya yang biasa bersanggul bersunting bunga sekarang dilabuhkan melepasi paras punggung, masih segar lagi mengiurkan. Hanya sedikit kurus dek kerenah anak-anak atau kerana sawah dusun dari harta sepencarian dulu buahnya tidak menjadi.

SEBELUM ini pun ramai ahli UMNO yang berhenti atau diberhentikan ada yang masuk balik sekalipun terpaksa merangkak mengharungi arus kerana bebal BAKAR JAMBATAN.



KOJE DAN JALAK

KOJE (baca J jangan T) sejenis reptilia dari spesis biawak sudah jadi resam hidupnya. Sekalipun sejauh mana perginya tetap akan masuk balik pada lubang yang sama dalam sebarang situasi. Koje tidak pernah terfikir lubang lain ditemui ada yang lebih selesa dari lubang yang pernah menjadi rumahtangganya.

Jalak Sikunani ayam sabung kesayangan Awang Dogoi dalam sejarah 44 kali menang KO, tetap menjadikan reban sebagai tempat perteduhan dan tidurnya sekalipun persekitaran hapak, penuh taik lama dan baru. Biasanya ayam akan turun dari reban setiap menjelang pagi dan naik semula ke atas reban ketika senja. Itulah rutin kehidupan keluarga ayam.

Spesis koje dan warga ayam miliki tabiat semulajadi, mereka juga berpegang pada prinsip seperti mana orang politik berpegang pada prinsip.

Tengku Razaleigh Hamzah, Dato’ Rais Yatim dan rakan-rakan pernah berbondong keluar dari UMNO seketika dulu. Selepas kecelaruan hala tuju lalu bahtera 46 jengah semula ke pengkalan UMNO secara pakej melalui upacara beradat bersama borang keahlian lengkap semuat kurang lebih 4 buah kereta lembu.

Saudara Ezam Md Noor pernah keluar dari UMNO, memasuki PKR tetapi telah membenam sumpah keramat dan menjilat semula ludahnya selepas tidak secocok dengan bekas ketuanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dia kini serba tak kena seperti juga keadaan Lebai Malang, mudik ke hilir kenduri selesai bergalah ke hulu orang membasuh balai.

Kapet merah kurang menyerlah, PakLah jadi gelabah, Ezam lebih banyak membawa malang dari tuah.

Giliran YAB Tun sesudah keluar dan mahu masuk balik kedalam UMNO timbul juga persoalan. Apa halnya dengan orang tua ni.

Orang sehebat Tun M, mustahil tidak perhalusi segala gerak dan kesan dari tindakannya.
UMNO waktu ditinggalkan oleh beliau dengan UMNO sekarang tidak banyak perbezaan.
Tun M sewaktu singgah di Langkawi dalam perjalanan ke Korea Selatan sehari selepas mengikuti penamaan pencalonan anaknya Dato’ Mukhriz di Jerlun dulu beritahu kami “ UMNO sudah tidak dapat lagi diperbaiki dari dalam”.

Perbaiki memberi erti dah banyak yang rosak, kalau kain dah koyak rabak layak dibuat basahan.

Sehubungan, apakah kini Tun M mendapat petunjuk dari sebuah mimpi kemudian terpengaruh dengan tafsiran Tan Sri Sanusi Junid, maka tiba-tiba bersedia menjadi dukun tampil cuba mengubati penyakit UMNO yang pada keadaannya dikatakan sudah sangat parah itu.

Apakah Tun M dan Tan Sri Sanusi setelah sekian lama dipertapaan seperti keadaan Hang Tuah keluar berguru kembali mengendong mentera yang tinggi kuasa hikmatnya.

Aku sangat menghormati keduanya pun bagaimana tidak sampai taksub menganggap mereka Dewa Penyelamat, kerananya menyaran agar mereka berdua terlebih dahulu melihat UMNO pada akar.

Pemimpin harus sedar, kini rakyat sudah jauh terdidik, kerananya mampu menilai setiap apa yang dilihat dan didengarinya.

Kebelakangan banyak persoalan yang timbul membabitkan negara dan pemim-pin.
Rakyat mencari jawapan. Sejauh ini segala kes bertindih susun belum terungkai dengan jelas.

Pada keadaannya, dimana-mana sepertinya tanah di sini sudah bermata,
rumput rampai bertelinga.

Ini menjadikan suara rakyat terganggu tersekat. Mereka takut, seperti keadaan takutnya orang-orang negeri Patih Suatang (Minangkabau) terhadap ular Sakti Muna yang saban tahun keluar membinasakan tanah perhumaan mereka (naskah Sullatus Sulatin)


PATUKAN ULAR

Isteri Awang pernah satu malam 2 kali dipatuk ular. Patukan pertama oleh ular biasa (yang kemampuannya sekadar boleh buncit perut), 2 jam kemudian dipatuk oleh seekor ular jenis tedung sederhana besar. 3 hari koma dan terpaksa dihantar mendapat rawatan tradisional di Pangga, Thailand. Alhamdulillah 5 hari saja di sana dianya pulih seperti sediakala.

Bercakap tentang ular, paling menakutkan adalah ular jadian dikenali sebagai nama saintifik ISAbila mendiami Putrajaya. Ianya dikatakan boleh membunuh masa hadapan seseorang tanpa mengira bangsa tua atau muda.

Bila rakyat marah dalam takut melampau. Melalui PRU12 mereka menunjukkan kuasa yang ada ditangan.

Kalau MARAH DALAM TAKUT disebut berdendam boleh dilihat sebagai satu penyakit, UMNO dinyahkan boleh diterjemah sebagai protes, dalam kata lain tidak bermakna PAS, PKR dan DAP adalah wadah terbaik.

Ular mematuk dikatakan sesudah dirinya tersepit atau merasai akan diapa-apakan musuh.
Bagitu ISAbila, bila wujudnya dalam matlamat menyekat, menyelamat dalam pada itu ada pihak dikalangan rakyat yang tidak selamat.


MATI BERSAMA

Diawal lagi aku telah sentuh tentang kerja Tuhan.

Dulu Tun M campak Anwar keluar dari UMNO, sekarang giliran beliau menghumban dirinya sendiri keluar. Kini kedua-duanya berada di luar UMNO atas kehendak Tuhan Maha kuasa lagi bijaksana.

YAB Dato’ Nik Aziz dalam perkara keluar dan masuk Tun M dalam UMNO, ada yang beliau faham dan ada yang beliau tidak faham.

Aku ada tafsiran sendiri. Tun M keluar dari UMNO selain kerana percanggahan
Pendapat dan cara pengurusan yang membawa kepada bahtera UMNO terumbang, Tun M membuat keputusan masuk semula kedalam UMNO seperti memilih untuk tenggelam ke perut laut bersama PAK LAH.

Berwang dan BERUANG

PEREBUTAN bagi menduduki kerusi-kerusi utama dalam UMNO Bahagian Langkawi sudah sampai dipenghujung. Mereka yang telah melepasi kelayakan sebagai calon ketua, timbalan ketua,naib ketua sedang giat menyusun strategi bagi menawan para perwakilan dari 91 cawangan UMNO yang telah pun selesai mengadakan mesyuarat.

Politik wang dalam UMNO adalah perkara biasa yang sukar dibendung. Ianya datang dari arah tidak menentu dalam sifat berbagai. Betul seperti kata pepatah cina, IKAN BUSUK BERMULA DARI KEPALA.

Sehubungan, lebih 200 orang perwakilan dari cawangan yang terpilih ke Mesyuarat agong bahagian terdedah menjadi sasaran broker politik. Perwakilan dalam keadaan ini tidak ubah bagaikan beruang di pinggir tasik surut yang menanti saat kekeringan, penuh kerakusan menanti habuan yang bila-bila sahaja akan datang bergolek atau melayang.
MANUSIA KALAU TIDAK BERWANG, ELOK SECARA BERKALA JADI BE-RUANG. Kebiasaannya beruang mudah untuk berwang.

GAMBARAN JELAS

PERMATANG PAUH gambaran jelas nukilan rakyat, bahawa UMNO sudah tidak releven, tidak mempunyai kredibiliti menyuara tentang keadilan.

UMNO sepertinya ubat yang hilang kuasa penyembuhan, apa yang boleh dilakukan sekarang adalah membantu mempercepat luput tarikh (expired) dan bukannya memperpanjang hayat kalau sekadar kekalnya akan menjadi artifak sejarah.

Budaya memberi sokongan kerana sogokan bukan saja boleh merosak imej parti bahkan sebagai jenayah moral.

51 tahun merdeka sepatutnya orang-orang politik kalangan pengikut parti mampu menjadi kuasa pendesak dalam usaha memertabat parti, membentuk kepimpinan berwibawa dalam sebuah kerajaan agar berfungsi dengan baik.

BETOI BENDOI ( betul bendul) dan PAK TURUT adalah amalan Pandir yang popular hanya di zamannya. Kita harus mencari lalu memperbaiki segala kepincangan, supaya nakhoda tidak terus besar kepala, yang kesudahannya membuat bahtera tersasar dari jejaki muara.

KUASA

Apa yang aku lihat dikalangan ahli politik dalam UMNO Langkawi yang kita sebut sebagai pemimpin. PEMIMPIN KITA semata mengejar kedudukan. Kedudukan akan membuat dirinya berkuasa, lalu dengan ada kuasa maka berusaha men-gaut kekayaan untuk diri dan keluarga. Semangat untuk berkhidmat kepada rakyat hanyalah pada cakap, sekadar menjadi gula-gula atau hiasan mengaboi mata masyarakat.

Bagi sesetengah orang yang berdiri dibelakang calon-calon (ketua, timbalan ketua dan naib ketua) Bahagian Langkawi tidak berpaksi bersandarkan misi dan visi jelas.

Catatan dari memoir Suriani: Sekitar tahun 1954 dalam mereka sedang mencari tapak baru untuk perlindungan, kumpulannya dipandu oleh orang asli (disebut oleh Suriani perajurit orang asli) sehingga ke gunung Berembun. Di pihak penjajah British dalam setiap serangan terhadap musuh (dilabel sebagai komunis) dibantu oleh orang Ghurka.

Di sini samada orang asli atau orang Ghurka, tenaga dan penat lelahnya dibayar. Sebagai tentera upahan mereka tidak kisah tentang matlamat arah tuju dan perancangan dari kerja buat yang dilakukan selain kerana periuk nasi.

Tentera upahan biasanya menjadi perisai kepada tuannya, selalu juga ber-hadapan dengan kecelakaan, ertinya mereka terpaksa membayar harga mahal untuk hidup demi kerana anak isteri.

Setelah separuh abad berlalu putaran kemerdekaan, di tengah kepesatan pem-bangunan tahu-tahunya ada pulak orang politik seperti juga orang asli dan Ghurka yang sanggup mengadai maruah dan harga diri apabila menyokong dan membantu sesuatu pihak semata kerana wang. Timbul persoalan, dimana kematangan seperti sering dilaungkan.


RUNGUTAN RAKYAT

Selama tempoh berkuasa (masuk ke 51 tahun) wakil rakyat BN, DUN BN dan Parlimen Langkawi tiada satu pun yang menjadi perkara pokok rungutan rak-yat berjaya diselesai.
Antaranya sebagai contoh:

- Kemasukan pendatang dengan taburan pendudukan mereka berselerakan. Sepertinya negeri ini kalau rumah langsung tidak berpagar berpintu.

- Mereka terlalu sangat diberi keistimewaan menepati peribahasa: anak sendiri diletak, kera di hutan disusui, dagang lalu ditanak, tiada kayu rumah diruntuh.

Terkini dan seterusnya mereka dimaksudkan ini semacam sudah menjadi penyakit kepada masyarakat Langkawi.

Pemimpin politik khususnya wakil rakyat yang ada, tidak bersedia menanggung risiko. Ini memberi gambaran pemimpin-pemimpin kita lebih pentingkan UNDI dalam menyelamatkan mereka dari menjaga kepentingan rakyat.

Lain-lain:

* Hospital Langkawi. Doktor yang ada sering lepas tangan apabila kekerapan menghantar pesakit ke Hospital Besar Alor Setar untuk dapatkan rawatan.
* Bila berlaku kematian seseorang di tanah besar, untuk bawa balik ke Langkawi menjadi masalah kepada keluarga berpendapatan rendah.
* Tambang feri Langkawi ke daratan sentiasa berubah harga, naiknya tidak pernah turun. Membebankan.
* Tanah kerajaan permohonan rakyat tidak berproses secara telus.

Rumah UMNO. Kadar ada tanah dan sering digunakan untuk tempat masak dan mengagihkan bubur asyura.
Asyik-asyik dengan bubur
Harapan ahli akan lebur
Sudahnya UMNO pasti berkubur.