KELUAR DAN MASUK atau masuk dan keluar adalah perkara biasa.
Menyeronokan.
Tanpa guruh berdentum kilat bersabungan, hujan boleh turun dengan lebatnya. Fenomena alam dari pekerjaan Allah sepadan kuasa dan kekayaannya boleh membuat laut pantai berubah gunung bukit berpindah.
Di tengah kegoyahan rakyat angkara peristiwa penculikan , pembunuhan dan ragut yang menjadi-jadi, dimana orang-orang UMNO masih dalam perkabungan ekoran kekalahan pilihanraya Permatang Pauh. Tidak semena sekeliannya tersentak digerak khabaran konon mantan PM Tun Dr Mahathir akan memasuki UMNO semula.
Berita ini tersebar luas, kawan-kawan kalangan UMNO bercakap mengenainya di setiap perjumpaan besar maupun kecil. Aku sedar ini adalah dari gerak atau kehendak Allah jua. Apa sehingga kepada jadi peliknya. Tun M hanya akan masuk balik ke dalam parti yang dulunya beliau pernah berada dalamnya.
Keadaan itu sepertinya seorang lelaki yang bercerai kemudiannya rujuk semula. Bercerai dan rujuk semula dalam Islam dibolehkan sampai 3 kali (tidak melebihi 3 talak). Pelanggaran syarat ditentukan ada jalan penyelesaian dalam cara khusus (cina buta). Dalam UMNO tiada peraturan semuanya itu, ertinya boleh keluar dan masuk seberapa kali mahu. Ianya terpulang kepada keputusan majlis tertinggi, ini tidak terikat dengan imam atau kadi dan quran.
Tun M baru pun tinggalkan UMNO. Nisbah penceraian dalam perkahwinan berbaik semula dalam keadaan, bilik dan katil belum pun berubah, sarung bantal dan tilam itu juga, janda yang akan kembali jadi isteri baru pun 4 kali datang bulan, rambutnya yang biasa bersanggul bersunting bunga sekarang dilabuhkan melepasi paras punggung, masih segar lagi mengiurkan. Hanya sedikit kurus dek kerenah anak-anak atau kerana sawah dusun dari harta sepencarian dulu buahnya tidak menjadi.
SEBELUM ini pun ramai ahli UMNO yang berhenti atau diberhentikan ada yang masuk balik sekalipun terpaksa merangkak mengharungi arus kerana bebal BAKAR JAMBATAN.
KOJE DAN JALAK
KOJE (baca J jangan T) sejenis reptilia dari spesis biawak sudah jadi resam hidupnya. Sekalipun sejauh mana perginya tetap akan masuk balik pada lubang yang sama dalam sebarang situasi. Koje tidak pernah terfikir lubang lain ditemui ada yang lebih selesa dari lubang yang pernah menjadi rumahtangganya.
Jalak Sikunani ayam sabung kesayangan Awang Dogoi dalam sejarah 44 kali menang KO, tetap menjadikan reban sebagai tempat perteduhan dan tidurnya sekalipun persekitaran hapak, penuh taik lama dan baru. Biasanya ayam akan turun dari reban setiap menjelang pagi dan naik semula ke atas reban ketika senja. Itulah rutin kehidupan keluarga ayam.
Spesis koje dan warga ayam miliki tabiat semulajadi, mereka juga berpegang pada prinsip seperti mana orang politik berpegang pada prinsip.
Tengku Razaleigh Hamzah, Dato’ Rais Yatim dan rakan-rakan pernah berbondong keluar dari UMNO seketika dulu. Selepas kecelaruan hala tuju lalu bahtera 46 jengah semula ke pengkalan UMNO secara pakej melalui upacara beradat bersama borang keahlian lengkap semuat kurang lebih 4 buah kereta lembu.
Saudara Ezam Md Noor pernah keluar dari UMNO, memasuki PKR tetapi telah membenam sumpah keramat dan menjilat semula ludahnya selepas tidak secocok dengan bekas ketuanya Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dia kini serba tak kena seperti juga keadaan Lebai Malang, mudik ke hilir kenduri selesai bergalah ke hulu orang membasuh balai.
Kapet merah kurang menyerlah, PakLah jadi gelabah, Ezam lebih banyak membawa malang dari tuah.
Giliran YAB Tun sesudah keluar dan mahu masuk balik kedalam UMNO timbul juga persoalan. Apa halnya dengan orang tua ni.
Orang sehebat Tun M, mustahil tidak perhalusi segala gerak dan kesan dari tindakannya.
UMNO waktu ditinggalkan oleh beliau dengan UMNO sekarang tidak banyak perbezaan.
Tun M sewaktu singgah di Langkawi dalam perjalanan ke Korea Selatan sehari selepas mengikuti penamaan pencalonan anaknya Dato’ Mukhriz di Jerlun dulu beritahu kami “ UMNO sudah tidak dapat lagi diperbaiki dari dalam”.
Perbaiki memberi erti dah banyak yang rosak, kalau kain dah koyak rabak layak dibuat basahan.
Sehubungan, apakah kini Tun M mendapat petunjuk dari sebuah mimpi kemudian terpengaruh dengan tafsiran Tan Sri Sanusi Junid, maka tiba-tiba bersedia menjadi dukun tampil cuba mengubati penyakit UMNO yang pada keadaannya dikatakan sudah sangat parah itu.
Apakah Tun M dan Tan Sri Sanusi setelah sekian lama dipertapaan seperti keadaan Hang Tuah keluar berguru kembali mengendong mentera yang tinggi kuasa hikmatnya.
Aku sangat menghormati keduanya pun bagaimana tidak sampai taksub menganggap mereka Dewa Penyelamat, kerananya menyaran agar mereka berdua terlebih dahulu melihat UMNO pada akar.
Pemimpin harus sedar, kini rakyat sudah jauh terdidik, kerananya mampu menilai setiap apa yang dilihat dan didengarinya.
Kebelakangan banyak persoalan yang timbul membabitkan negara dan pemim-pin.
Rakyat mencari jawapan. Sejauh ini segala kes bertindih susun belum terungkai dengan jelas.
Pada keadaannya, dimana-mana sepertinya tanah di sini sudah bermata,
rumput rampai bertelinga.
Ini menjadikan suara rakyat terganggu tersekat. Mereka takut, seperti keadaan takutnya orang-orang negeri Patih Suatang (Minangkabau) terhadap ular Sakti Muna yang saban tahun keluar membinasakan tanah perhumaan mereka (naskah Sullatus Sulatin)
PATUKAN ULAR
Isteri Awang pernah satu malam 2 kali dipatuk ular. Patukan pertama oleh ular biasa (yang kemampuannya sekadar boleh buncit perut), 2 jam kemudian dipatuk oleh seekor ular jenis tedung sederhana besar. 3 hari koma dan terpaksa dihantar mendapat rawatan tradisional di Pangga, Thailand. Alhamdulillah 5 hari saja di sana dianya pulih seperti sediakala.
Bercakap tentang ular, paling menakutkan adalah ular jadian dikenali sebagai nama saintifik ISAbila mendiami Putrajaya. Ianya dikatakan boleh membunuh masa hadapan seseorang tanpa mengira bangsa tua atau muda.
Bila rakyat marah dalam takut melampau. Melalui PRU12 mereka menunjukkan kuasa yang ada ditangan.
Kalau MARAH DALAM TAKUT disebut berdendam boleh dilihat sebagai satu penyakit, UMNO dinyahkan boleh diterjemah sebagai protes, dalam kata lain tidak bermakna PAS, PKR dan DAP adalah wadah terbaik.
Ular mematuk dikatakan sesudah dirinya tersepit atau merasai akan diapa-apakan musuh.
Bagitu ISAbila, bila wujudnya dalam matlamat menyekat, menyelamat dalam pada itu ada pihak dikalangan rakyat yang tidak selamat.
MATI BERSAMA
Diawal lagi aku telah sentuh tentang kerja Tuhan.
Dulu Tun M campak Anwar keluar dari UMNO, sekarang giliran beliau menghumban dirinya sendiri keluar. Kini kedua-duanya berada di luar UMNO atas kehendak Tuhan Maha kuasa lagi bijaksana.
YAB Dato’ Nik Aziz dalam perkara keluar dan masuk Tun M dalam UMNO, ada yang beliau faham dan ada yang beliau tidak faham.
Aku ada tafsiran sendiri. Tun M keluar dari UMNO selain kerana percanggahan
Pendapat dan cara pengurusan yang membawa kepada bahtera UMNO terumbang, Tun M membuat keputusan masuk semula kedalam UMNO seperti memilih untuk tenggelam ke perut laut bersama PAK LAH.
Thursday, October 16, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Salam Blogger,
Semoga terus mengekalkan penulisan HEBAT Tuan ini dalam dunia politik yang serba mungkin ini.
Saya sentiasa akan melawat blog Tuan dari semasa ke semasa.
Semoga hubungan blogger ini akan berkekalan dalam mencambahkan lagi pengetahuan, sokongan dan pengajaran.
Salam ziarah blog anda yang HEBAT ini.
Ikhlas,
Sarfarizmal Saad
http://Sarfarizmalsaad.blogspot.com
Salam,
Mohon teruskan penulisan yang sebegini... ada nilai yang tersendiri dan anda memang hebat..
Post a Comment